Thursday, June 9, 2011

Israk dan Mikraj

Kali ini teman nak coretkan sedikit cerita yang berkaitan Isra` dan Mikraj. Isra` ni maksudnya berjalan malam. Bani Israil itu maksudnya puak yang berjalan malam. Mikraj tu perjalanan dari bumi ke langit. Naik apa ye? Yang ni ada khilaf. Kalau dulu ustaz yang bercerita ia binatang sebesar himar, kecil sedikit daripada unta dan besar sedikit daripada kaldai. Ini cerita dulu. Buraq ni sepantas kilat. Dalam bahasa yang mudah ia adalah kilat. Tarikhnya pun berlaku khilaf pendapat. Mungkin malam 27 Rejab. Pokoknya peristiwa besar ini berlaku dalam bulan Rejab. Menyambut perayaan bulan Rejab ni bukan sunnah. Adakah bidaah ? Bagi teman, kalau nak buat kenduri kesyukuran buatla. Adakan tazkirah tentang peristiwa bersejarah ni lagi bagus. Peringatkanlah anak-anak Adam ini. Sesungguhnya peringatan itu berguna untuk orang yang beriman.

Cerita tentang Israk ada pada surah al Isra` ayat 1.

Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui


Daripada ayat di atas, Nabi Muhammad saw bergerak dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa Palestin. Mengapa ke Palestin. Senang ceritanya, Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam dan tanah para ambia dan rasul, dari Adam as hinggalah Isa as. Semua nabi sebelum nabi saw memang pernah menjejakkan kaki di sana. Masjidil Aqsa tu bukan hak mutlak muslim Palestin tetapi hak mutlak umat Islam seluruh dunia, dulu kini dan selamanya. Umat Islam mesti ada tersentuh hati jika bumi suci itu dicemari oleh golongan kufur. Kalau tak ada takut-takut tak dapat syafaat nabi.

Cerita tentang Mikraj ada pada Surah An-Najm ayat 13-18
Dan demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah melihat Jibrail dalam bentuknya yang asal sekali lagi. Di sisi Sidratul Muntaha. Yang di sisinya terletak syurga Jannatul-Makwa. Semasaa Sidratul-Muntaha itu diliputi oleh makhluk dari alam ghaib yang tidak terhingga. Penglihatan Nabi Muhammad tidak berpaling dan tidak melampaui batas. Demi sesungguhnya dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda kekuasaan Tuhan.


Dalam kumpulan ayat ini Nabi Muhammad saw dapat melihat Jibrail as yang asli dua kali, iaitu sekali di bumi dan sekali lagi di Sidratul Muntaha. Muntaha itu maksudnya had penghabisan hamba boleh dekat dengan Tuhan.

Dari satu segi, nabi saw dapat isra` dan mikraj sebagai anugerah menghilangkan rasa sedih kerana kematian Siti Khadijah dan pakciknya Abu Talib yang menjadi benteng daripada kafir Qurais Mekah. Tambahan pula misi dakwah baginda ke Taif juga mendapat tentangan penduduknya. Dalam perjalanan pulang, baginda dilontar batu oleh barisan kanak-kanak Taif. Mereka tak mahu dengar dakwah baginda sama ada ia benar ataupun salah. Taif ni lebih kurang 37 km dari Kota Mekah. Taif ni kampung halaman Zaid bin Harisah. Walapaun malaikat tawarkan diri untuk menghempaskan bukit kepada penduduk Taif tetapi ditolak oleh baginda. Kalau idak, jadi sejarah pulak macam umat-umat nabi terdahulu. Kalau berjaya misi dakwahnya di Taif, tak adalah Madinah. Taif pula jadi bandar nabi. Ini mungkin.

Dalam perjalanan pulang dari Taif, Nabi berdoa

Aku berlindung kepada WajahMu yang bersinar denganNya dari segala yang gelap dan menjadi baik kerananya segala urusan dunia dan akhirat.

Ini boleh jadi doa pelaris. Baca 21 kali dan tiup pada air dan spray tempat niaga. InsyaAllah maju. Kenelah buat selalu sampai nampak berkesan. Sudah berjaya jangan lupa Tuhan. Kalau nak kena pelangkup buat le.

Masa dalam perjalanan pulang nabi berhenti berehat di tembok sebuah kebun anggur kepunyaan Uthbah dan Syaibah. Mereka mengutus budak menghantarkan anggur dan diambil baginda beberapa biji. Maka baginda membaca bismillah sebelum makan. Budak suruhan tersebut menjadi heran kerana belum pernah didengar perkataan tersebut. Baginda bertanya dari mana budak itu berasal. Maka dijawabnya dari Nainawi Baginda menambah negeri seorang saleh yang bernama Yunus bin Mata. Budak tersebut kehairanan macam mana baginda tahu. Baginda menjelaskan dia seorang nabi dan baginda sendiri juga seorang nabi. Akhirnya budak tersebut menganut Islam.

Allah juga mengutuskan kumpulan jin mendengar seruan baginda dan mengajak kumpulannya turut beriman.

يَا قَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Wahai kaum kami! Sahutlah seruan Rasul yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan bagimu dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al ahqaf:31)


Walaupun pada mulanya tiada siapa yang mahu mendengar dakwah baginda tetapi dalam perjalanan pulang, jin pula masuk Islam. Ramai pulak tu. Jin pun tahu bahana siksaan Allah. Tapi manusia sahaja yang masih degil. Fitrah manusia memang degil.

Sebelum Isra` dan Mikraj, Jibrail membasuh hati baginda dengan air zam-zam. Ini ada khilaf. Ada yang faham nabi saw minum air zam zam. Ada yang faham memang baginda memang kena belah dan dibasuh hatinya. Mana-mana pun kira ok. Yang penting ada peristiwa pembersihan hati baginda sebelum Isra` dan Mikraj.

Dalam perjalanan ke Masjidil Aqsa, baginda diperlihatkan dengan peristiwa tamsilan. Di antaranya;

1. Baginda melihat kelompok yang bercucuk tanam dan mengeluarkan hasil dengan pantas dan berterusan. Ini adalah umat yang berjihad dan membuat kebajikan.

2. Baginda melihat sekumpulan manusia makan daging busuk dan meninggalkan daging yang baik. Ini tamsilan perbuatan suami yang berzina dan meninggalkan isteri yang halal.

3. Baginda melihat manusia berpakaian koyak rabak memakan daun-daun berduri yang sangat pahit dan batu neraka. Ini tamsilan umat yang tidak membayar zakat.
4. Baginda melihat umat yang memikul kayu di bahunya sedangkan beban yang sedia ada cukup berat dan tidak terangkat. Ini tamsilan umat yang suka mengambil amanah tetapi gagal melaksanakan amanah tersebut.

5. Baginda melihat umat yang menyepit bibir dan lidahnya. Ini tamsilan umat yang suka menyambung fitnah.

6. Baginda melihat umat yang buncit perutnya. Apabila hendak berdiri ia jatuh tersungkur. Ini tamsilan umat yang memakan riba.

7. Baginda melihat umat menolak hidangan yang baik tetapi memakan hidangan yang busuk. Ini tamsilan umat yang memakan rezeki haram dan menolak rezeki yang halal.

Ini adalah tamsilan kerana belum qiamat lagi dan belum ada pembalasan terhadap kesalahan umat manusia. Tamsilan itu merujuk kepada perbuatan manusia sejak nabi Adam hingga manusia terakhir. Tak terhad kepada umat nabi Muhammad saw sahaja. Muhammad tu manusia.

Sebelum Mikraj, nabi saw mengimamkan sembahyang dua rakaat para arwah nabi dan rasul terdahulu. Rasanya, nabi saw dimuliakan sebagai penghulu segala nabi dan rasul. Teman tak terfikir apa perlunya arwah sembahyang lagi. Kome le fikir.

Lepas itu, nabi saw mikraj hingga ke langit ke tujuh. Di sana baginda bertemu Nabi Ibrahim Khalilullah. Di sinilah terletaknya Baitul Makmur, iaitu masjid para malaikat. Masjidil Haram masjid untuk manusia. Setiap hari dikunjungi ribuan malaikat yang beribadat. Berdekatan dengan Baitul Makmur terletaknya Jannatul Makwa. Malaikat Jibrail tidak dapat melepasi Sidratul Muntaha. Baginda sendiri yang dapat melepasinya dan menerima amanat sembahyang 5 waktu yang asalnya 50 waktu. Atas nasihat Nabi Musa, berulang alik baginda bertemu Tuhan untuk mengurangkan bilangan sembahyang tersebut. Mengapa Nabi musa yang menasihati baginda ? Jawapnya ialah Musa as tu Kalamullah.

Peristiwa Isra` dan Mikraj ini memang luar biasa. Yang telah Islam pun jadi kafir dan orang kafir pulak lagi senang untuk memperlekehkan Islam. Nasib baiklah Abu Bakar tetap percaya dengan cerita baginda. Maka digelar Abu Bakar As Siddik. Peristiwa aneh ini walaupun pelik tetapi tetap benar.

Kesimpulannya, Tuhan hanya mengiktiraf orang yang beriman. Hal ini kerana banyak perkara ghaib yang kena dipercaya. Tak sampai dek akal manusia untuk mempercayainya. Ini yang susah. Musuh Islam lagi suka untuk memburuk-burukkan Islam. Jadi umat yang beriman berperanan untuk mempertahankannya dengan apa cara sekalipun. Tuhan tahu apa yang berlaku dan berkuasa menguruskannya. Allah maha berkuasa lagi maha bijaksana.

Wednesday, June 1, 2011

Sejarah Solat





Kali ini teman coretkan sedikit tentang sejarah solat. Teman muat turun artikel Surina Ab Ghani (2009) untuk menunjukkan sejarah solat. Moga-moga rahmat Tuhan ke atau beliau. Ini sejarah solat lima waktu, iaitu solat syariat. Orang yang bertaqwa sentiasa solat, iaitu 24 jam.

Secara fi`linya, segala gerak diam semasa solat lima waktu itu asalnya perbuatan para malaikat. Malaikat hanya buat satu perbuatan sahaja. Kalau qiam, maka qiam sahajalah. Kalau rukuk maka rukuk sahajalah. Kalau sujud maka sujud sahajalah. Cuma kita umat akhir zaman ini yang buat kesemuanya. Hebatkan kita.

Arahan solat lima waktu kepada umat Muhammad saw bermula dengan peristiwa mikraj 5 tahun sebelum hijrah baginda ke Yastrib (Maidinah). Kita pun confuse sama ada israk dan mikraj baginda dengan jasad atau dengan roh sahaja. Berbeza-beza pendapat pula ahli sejarah dan ulamak. Lepas tu pulak naik apa ? Naik binatang boraq atau naik kilat. Pening juga memikirkan jawapannya. Teman berpendapat baginda israk dan mikraj bersama jasad sekali. Adakah bertentang dengan akal atau syarak ? Qudrat dan iradat Tuhan membolehkan hal ini berlaku kepada kekasihNya. Kenderaannya ialah barqun, iaitu kilat. mengikut akal, kalau kita bergerak sepantas cahaya, baju yang kita pakai boleh hancur berkecai tetapi kepada baginda adalah sebaliknya.

SEJARAH SOLAT 5 WAKTU

Oleh Surina Ab. Ghani pada 15 Mac 2009

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat Nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat Nabi Muhammad di mana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

SUBUH
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s, iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keuar, Nabi Adam a.s, pun bersembahyang dua rakaat.

i) Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam,
ii) Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

ZOHOR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s, iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembilah anaknya Nabi Ismail a.s,. Seruan datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

i) Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
ii) Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
iii) Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
iv) Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s, tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

i) Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
ii) Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
iii) Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
iv) Rakaat keempat: kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHRIB
Manusia pertama yang mengerjakan solat maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

i) Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
ii) Rakaat kedua: untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang
telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
iii) Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahaw tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT
semata-mata, tiada dua atau tiganya.

ISYAK
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s..
Pada ketika itu, nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang terakhir. Lalu sembahyanglah nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

i) Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
ii) Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
iii) Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
iv) Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun.


Kesimpulannya, dengan berkurangnya umur kita di dunia, maka pemahaman kita tentang solat sepatutnya semakin betul dan solat yang dilaksanakan dapat mengubah karaktor kita menjadi lebih tenang dan berhikmah. Yakinlah, kalau pembaca budiman berbual tentang hukum qalbi kepada orang awam jawapan yang diterima tidak dapat memuaskan hati. Teman ada kawan setaman. Katanya aku sanggup mengabdikan diri kepada guru solat selama setahun untuk mendapatkan solat yang khusyuk. Sepak terajanglah, dia tidak akan lari. Kalau ustaz itu gagal maka ustaz tu memang tidak boleh pakai. Sia-sialah kuliah agamanya. Lebih teruk lagi, inilah penjual agama. Teman pun meremang juga bulu tengkuk. Masa tu nak makan roti arab di kedai kopi je.