Cerita tentang Israk ada pada surah al Isra` ayat 1.
Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Daripada ayat di atas, Nabi Muhammad saw bergerak dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa Palestin. Mengapa ke Palestin. Senang ceritanya, Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam dan tanah para ambia dan rasul, dari Adam as hinggalah Isa as. Semua nabi sebelum nabi saw memang pernah menjejakkan kaki di sana. Masjidil Aqsa tu bukan hak mutlak muslim Palestin tetapi hak mutlak umat Islam seluruh dunia, dulu kini dan selamanya. Umat Islam mesti ada tersentuh hati jika bumi suci itu dicemari oleh golongan kufur. Kalau tak ada takut-takut tak dapat syafaat nabi.
Cerita tentang Mikraj ada pada Surah An-Najm ayat 13-18
Dan demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah melihat Jibrail dalam bentuknya yang asal sekali lagi. Di sisi Sidratul Muntaha. Yang di sisinya terletak syurga Jannatul-Makwa. Semasaa Sidratul-Muntaha itu diliputi oleh makhluk dari alam ghaib yang tidak terhingga. Penglihatan Nabi Muhammad tidak berpaling dan tidak melampaui batas. Demi sesungguhnya dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda kekuasaan Tuhan.
Dalam kumpulan ayat ini Nabi Muhammad saw dapat melihat Jibrail as yang asli dua kali, iaitu sekali di bumi dan sekali lagi di Sidratul Muntaha. Muntaha itu maksudnya had penghabisan hamba boleh dekat dengan Tuhan.
Dari satu segi, nabi saw dapat isra` dan mikraj sebagai anugerah menghilangkan rasa sedih kerana kematian Siti Khadijah dan pakciknya Abu Talib yang menjadi benteng daripada kafir Qurais Mekah. Tambahan pula misi dakwah baginda ke Taif juga mendapat tentangan penduduknya. Dalam perjalanan pulang, baginda dilontar batu oleh barisan kanak-kanak Taif. Mereka tak mahu dengar dakwah baginda sama ada ia benar ataupun salah. Taif ni lebih kurang 37 km dari Kota Mekah. Taif ni kampung halaman Zaid bin Harisah. Walapaun malaikat tawarkan diri untuk menghempaskan bukit kepada penduduk Taif tetapi ditolak oleh baginda. Kalau idak, jadi sejarah pulak macam umat-umat nabi terdahulu. Kalau berjaya misi dakwahnya di Taif, tak adalah Madinah. Taif pula jadi bandar nabi. Ini mungkin.
Dalam perjalanan pulang dari Taif, Nabi berdoa
Aku berlindung kepada WajahMu yang bersinar denganNya dari segala yang gelap dan menjadi baik kerananya segala urusan dunia dan akhirat.
Ini boleh jadi doa pelaris. Baca 21 kali dan tiup pada air dan spray tempat niaga. InsyaAllah maju. Kenelah buat selalu sampai nampak berkesan. Sudah berjaya jangan lupa Tuhan. Kalau nak kena pelangkup buat le.
Masa dalam perjalanan pulang nabi berhenti berehat di tembok sebuah kebun anggur kepunyaan Uthbah dan Syaibah. Mereka mengutus budak menghantarkan anggur dan diambil baginda beberapa biji. Maka baginda membaca bismillah sebelum makan. Budak suruhan tersebut menjadi heran kerana belum pernah didengar perkataan tersebut. Baginda bertanya dari mana budak itu berasal. Maka dijawabnya dari Nainawi Baginda menambah negeri seorang saleh yang bernama Yunus bin Mata. Budak tersebut kehairanan macam mana baginda tahu. Baginda menjelaskan dia seorang nabi dan baginda sendiri juga seorang nabi. Akhirnya budak tersebut menganut Islam.
Allah juga mengutuskan kumpulan jin mendengar seruan baginda dan mengajak kumpulannya turut beriman.
يَا قَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Wahai kaum kami! Sahutlah seruan Rasul yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan bagimu dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al ahqaf:31)
Walaupun pada mulanya tiada siapa yang mahu mendengar dakwah baginda tetapi dalam perjalanan pulang, jin pula masuk Islam. Ramai pulak tu. Jin pun tahu bahana siksaan Allah. Tapi manusia sahaja yang masih degil. Fitrah manusia memang degil.
Sebelum Isra` dan Mikraj, Jibrail membasuh hati baginda dengan air zam-zam. Ini ada khilaf. Ada yang faham nabi saw minum air zam zam. Ada yang faham memang baginda memang kena belah dan dibasuh hatinya. Mana-mana pun kira ok. Yang penting ada peristiwa pembersihan hati baginda sebelum Isra` dan Mikraj.
Dalam perjalanan ke Masjidil Aqsa, baginda diperlihatkan dengan peristiwa tamsilan. Di antaranya;
1. Baginda melihat kelompok yang bercucuk tanam dan mengeluarkan hasil dengan pantas dan berterusan. Ini adalah umat yang berjihad dan membuat kebajikan.
2. Baginda melihat sekumpulan manusia makan daging busuk dan meninggalkan daging yang baik. Ini tamsilan perbuatan suami yang berzina dan meninggalkan isteri yang halal.
3. Baginda melihat manusia berpakaian koyak rabak memakan daun-daun berduri yang sangat pahit dan batu neraka. Ini tamsilan umat yang tidak membayar zakat.
4. Baginda melihat umat yang memikul kayu di bahunya sedangkan beban yang sedia ada cukup berat dan tidak terangkat. Ini tamsilan umat yang suka mengambil amanah tetapi gagal melaksanakan amanah tersebut.
5. Baginda melihat umat yang menyepit bibir dan lidahnya. Ini tamsilan umat yang suka menyambung fitnah.
6. Baginda melihat umat yang buncit perutnya. Apabila hendak berdiri ia jatuh tersungkur. Ini tamsilan umat yang memakan riba.
7. Baginda melihat umat menolak hidangan yang baik tetapi memakan hidangan yang busuk. Ini tamsilan umat yang memakan rezeki haram dan menolak rezeki yang halal.
Ini adalah tamsilan kerana belum qiamat lagi dan belum ada pembalasan terhadap kesalahan umat manusia. Tamsilan itu merujuk kepada perbuatan manusia sejak nabi Adam hingga manusia terakhir. Tak terhad kepada umat nabi Muhammad saw sahaja. Muhammad tu manusia.
Sebelum Mikraj, nabi saw mengimamkan sembahyang dua rakaat para arwah nabi dan rasul terdahulu. Rasanya, nabi saw dimuliakan sebagai penghulu segala nabi dan rasul. Teman tak terfikir apa perlunya arwah sembahyang lagi. Kome le fikir.
Lepas itu, nabi saw mikraj hingga ke langit ke tujuh. Di sana baginda bertemu Nabi Ibrahim Khalilullah. Di sinilah terletaknya Baitul Makmur, iaitu masjid para malaikat. Masjidil Haram masjid untuk manusia. Setiap hari dikunjungi ribuan malaikat yang beribadat. Berdekatan dengan Baitul Makmur terletaknya Jannatul Makwa. Malaikat Jibrail tidak dapat melepasi Sidratul Muntaha. Baginda sendiri yang dapat melepasinya dan menerima amanat sembahyang 5 waktu yang asalnya 50 waktu. Atas nasihat Nabi Musa, berulang alik baginda bertemu Tuhan untuk mengurangkan bilangan sembahyang tersebut. Mengapa Nabi musa yang menasihati baginda ? Jawapnya ialah Musa as tu Kalamullah.
Peristiwa Isra` dan Mikraj ini memang luar biasa. Yang telah Islam pun jadi kafir dan orang kafir pulak lagi senang untuk memperlekehkan Islam. Nasib baiklah Abu Bakar tetap percaya dengan cerita baginda. Maka digelar Abu Bakar As Siddik. Peristiwa aneh ini walaupun pelik tetapi tetap benar.
Kesimpulannya, Tuhan hanya mengiktiraf orang yang beriman. Hal ini kerana banyak perkara ghaib yang kena dipercaya. Tak sampai dek akal manusia untuk mempercayainya. Ini yang susah. Musuh Islam lagi suka untuk memburuk-burukkan Islam. Jadi umat yang beriman berperanan untuk mempertahankannya dengan apa cara sekalipun. Tuhan tahu apa yang berlaku dan berkuasa menguruskannya. Allah maha berkuasa lagi maha bijaksana.
No comments:
Post a Comment