Tuesday, September 28, 2010

Alahai Kasturi Klasik

Nampaknya satu lagi syarikat Melayu yang akan berhadapan dengan cabaran getir kerana sifat dan sikap yang akhirnya memakan diri sendiri. Ramai yang nampaknya terpengaruh dengan tawaran lumayan 7% sebulan selama lima tahun dan alatan yang dibeli mengikut pekej akan disemula oleh pihak syarikat dengan harga 50% daripada harga asal. maka ramailah yang tersirna dengan kilauan keuntungan yang melimpah luah tanpa perlu menitiskan keringat jantan.

Syahadan telah berlalu selama tiga bulan riak-riak mendung pun menghampiri hati-hati yang girang. Akhirnya petir sabung menyambung. Khabar duka menyelubungi diri. pihak syarikat memberi alasan pandir untuk tidak membayar sewa yang dipersetujui dalam perjanjian yang berat sebelah. Ada lawyer pun tidak boleh diharap. Sepatutnya menjadi orang tengah tapi sebaliknya berlaku. Sudahlah dibayar RM 350.00 setiap perjanjian. tidak boleh diharap.

Maka tersebutlah kisah, Bentayan dari Kelantan berkelana ke Taman Melawati mandaki anak tangga dengan harapan diberi keadilan. dengan wajah selamba sang Mendaliar memberikan senyuman harapan. Nantilah sebelum raya Puasa semua sewa akan dibayar. Baliklah Benyatan dengan hatinya yang sedikit terubat dengan janji musang tidak akan memakan ayam. Syawal berlalu dengan pantas dan kini masuk ke penghujungnya. Bayangan wang sewa tidak juga kelihatan. Oh aku masih bermimpi lagi.

Di tengah persada dunia, sang kelembai masih lagi dengan gahnya mencari anak anak seluang untuk menjadi penyokongnya membangunkan satu syarikat gergasi yang akan membawa rahmat kepada seluruh anak seluang di negara ini. Tidak perlu bersusah payah. Hanya laburkanlah sepatutnya mengikut pekej dan tanda tanganilah surat perjanjian dengan harga RM 350.00. kemudian, tunggu selama tiga bula. wang sewa akan dibankin.

Begitulah lumrahnya sang kelembai untuk memajukan megahnya. Maka tertipulah sang seluang selamanya jika masih lagi berfikiran kolot. Sirna dengan cerita yang mulus-mulus.

No comments:

Post a Comment