Wednesday, December 2, 2009

Rosaknya Pendidikan Kita

Bila dikenang kembali pendidikan di sekolah sejak tahun 1970an hingga kini banyak elemen positif yang terhakis dan dibiarkan begitu tanpa ada usaha untuk membetulkannya. Akhirnya yang lahir adalah generasi lepasan sekolah yang ketandusan nilai kemanusiaan dan hipokrit. Anehnya inilah yang menjadi kebanggaan negara.

Dulu, pelajar yang gagal SRP tidak dapat meneruskan sekolah ke tingkatan empat. Maknanya mereka terpaksa mencari peluang membina kemahiran di pusat kemahiran MARA ataupun di Pusat Latiihan Pertanian. Pelajar yang berjaya naik kelas memang betul-betul mahu belajar. Mereka yang terpilih mudah dibentuk mengikut kehendak pendidikan kerana mereka memang berbakat dan ada minat untuk terus belajar. Bila Menteri Pelajaran umumkan kenaikan automatik ke tingkatan empat maka keadaan menjadi kelam kabut. Masalah disiplin sekolah menjadi rumit, prestasi keseluruhan merudum, sekolah menjadi sasaran tohmahan ibu bapa dan pihak tidak bertanggungjawab yang akhirnya masing-masing mencari jalan melepaskan kesalahan dan beban kepada orang lain.

Mustahil pelajar luar bandar dan pinggir bandar melahirkan 60% pelajar aliran sains yang berjaya. Mustahil pelajar yang sederhana melonjakkan prestasi sekolah setelah pelajar pintarnya berpindah ke sekolah elit. Mustahil guru dan kaunselor dapat menangani masalah pelajar yang tidak berupaya untuk mengikuti aliran akademik yang mencabar dengan tahap kedatangan yang tidak memuaskan. Mustahil semua pelajar boleh lulus PAFA. Mustahil guru dapat melayani pelajar apabila turut dibebani tugas ad hoc Jabatan dan Kementerian.

Pada masa kini bidang pendidikan berada pada tahap terkebawah kerana mudah dibuli oleh pihak yang berkepentingan atau mencari publisiti. Potensi untuk disaman oleh penjaga amat tinggi dengan alasan pelajar immune undang-undang. Macam mana pelajar tak naik tocang atau tegak ekor, menteri sendiri yang beri lesan kuasa kepada mereka. Apa akan terjadi jika pelajar bakar motorsikal guru ataupun melemparkan minyak hitam ke rumah cikgu. Sebaliknya jika cikgu tampar pelajar kerana biadap. Saya yakin cikgu akan kalah bila disaman di mahkamah. Yang pelajar hanya akan diberi amaran.

Nampaknya cita-cita untuk menjadikan tahap pendidikan di Malaysia bertaraf dunia hanya sampai ke tahap dunia Afrika ataupun Asia Barat. Kita sebenarnya jauh ketinggalan dengan Thailand apatah lagi Singapura. Pelajar mereka mampu diikat oleh peraturan yang tidak boleh dipertikai. Di Malaysia, pelajar dan ibu bapa melalui peguam mempu mempertikai peraturan tersebut. Akhirnya peraturan itu tiada nilai di sisi undang-undang negara.

Siapa yang peduli dengan nasib anak sekolahan akan datang. Mampukah mereka menguruskan negara jika tiada berdisiplin, kebijaksanaan yang boleh dipertikai dan berkemahiran sesuai dengan zamannya.

Pikirlah sendiri

No comments:

Post a Comment