Wednesday, November 18, 2015

Rohani 1

Dalam tulisan yang terdahulu, saya meyakini bahawa diri kita yang sebenar dan menjadi tempat tilik Tuhan ialah Rohani. Inilah pandangan orang kerohanian. Alasannya ialah Rohani ini datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Jasad ini hanyalah rumah bagi Rohani sementara hidup di alam dunia. Sampai masa Rohani akan keluar juga meninggalkan jasad. Namun begitu, jasad inilah yang ditangisi oleh para waris apabila berpulang kelak.

Apabila kita tidur, pengsan ataupun koma, kita baru separuh mati. Jasad masih bernafas tetapi fikiran dan kekuatannya telah tiada. Kalau mati, jasad akan kaku.

Dalam pelajaran yang telah saya lalui, Rohani ini dikatakan sebagai diri terperi. Ia terdiri daripada roh, nafsu, akal dan nyawa. Asal kejadannya di alam Jabarut. Diri sebenar ialah nyawa. Nyawa inilah yang paling awal dijadikan. Nyawa ini juga dikenali sebagai Nur Muhammad. Nur Muhammad ini bertaraf Zat yang tidak menjadikan. Nur Muhammad bertaraf Zat kerana ia tidak berupa sesuatu apapun. Nur Muhammad ini pula daripada Haqikatul Muhammadiah. Daripada Nur Muhammad inilah Tuhan menjadikan sekalian makhluk. Daripada sinilah wujud istilah pandangan yang banyak kepada yang satu dan pandangan satu kepada yang banyak. Maksudnya makhluk yang banyak bermula daripada satu. Daripada yang satu inilah diciptakan yang banyak. Dalam kerohanian, pandangan sebegini dipanggil syuhudul wahdah fil kasrah dan syuhudul kasrah fil wahdah.

Saya perturunkan juga sejarah amalan syuhud dalam kerohanian. Kalau kita baca ayat pertama surah al Ikhlas, "Katakanlah Hu Allah". Walaupun telah beribu kali kita baca ayat ini dalam bahasa Arab, saya rasa kita tidak perasan yang ayat itu merupakan asas untuk kita beribadat. Amalan syuhud ini juga dipanggil Solatul Daim. Raja Ali Haji dala puisinya ada menyebut solat daim. Begitu juga dalam ajaran Ahmad Laksamana dalam bukunya Hakikat Insan ada menyentuh solatul solatul daim. Dalam Quran dalam surah al Maarij ayat 22 ada menyebutkan soal solatul daim. Dalam feqah kita hanya diajar solatul qaim (solat yang didirikan). Solat daim amalan Rohani. Solat Qaim lebih pada jasmani. Mana yang penting. Dua-dua penting kerana dua-dua perintah Tuhan dalam al Quran. Kalau ditinggal solat daim apa jadi ? Taraf kita lebih hina daripada anjing dan babi. Apa sebabnya ? Kita tidak kenal diri.

Kalau kita mendengar syarahan Ustaz Syeikh Muda Ariffin dalam youtube, kalau kita mahu meniru sunah nabi Muhammad saw, jangan separuh-separuh. Tiru semuanya. Yang zahir, yang batin, dari mula hingga akhirnya, ucapannya, kelakuannya dan juga amalan baiknya. Yang zahir kita boleh lihat tetapi yang batin kita mesti mengadap untuk berguru. Guru dan murid mesti ada ikatan (nasab afidah) . Guru akan mengajar dan memantau perkembangan kita.

Rohani kita merupakan sebaik-baik kejadian. Lihat Surah at Tin ayat 3. Dalam surah ini kita dikenali sebagai insan. Dalam tafsiran biasa insan difahami sebagai manusia. Betul juga kerana dalam diri manusia ada Rohani.

Rohani ini ada kaitan dengan ilmu sifat 20. Asas Tuhan menjadikan makhluk daripada sifat Qahar. Sifat Qahar itu ialah qudra, iradat, ilmu dan hayat. Sifat qudrat menjadi roh kepada kita. Sifat iradat menjadi nafsu kepada kita. Sifat ilmu menjadi akal kepada kita. Sifat hayat menjadi nyawa kepada kita. Sifat Qahar tiada kuasa. Kuasa itu datang daripada sifat Kamal Tuhan. Sifat Qadirun memberikan kuasa kepada qudrat. Sifat Muridun memberikan kuasa kepada sifat Iradat. Sifat Alimun memberikan kuasa kepada Sifat Ilmu. Sifat Hayyun memberikan kuasa kepada sifat Hayat. Corak hubungan antara sifat kamal dan sifat qahar adalah lazim-melazimi. Sifat Kamal mendapat kuasa daripada Sifat Wahdaniah. Wahdaniah ini Sifat  Salbiah Tuhan. Sifat Salbiah itu menunjukkan keesaan Tuhan.

Kalau tidak ada asas mengaji Sifat 20, pening untuk memahami perenggan di atas. Jadi untuk faham mengadaplah kepada guru kerohanian yang mursyid. Kalau payah hendak jumpa sekarang pasanglah niat nak belajar ilmu kerohanian. Mudah-mudahan Tuhan akan memberikan pertolongan yang besar. Niat itu doa. Doa yang terbaik dari cetusan hati nurani sang hamba.

Rumusan penulisan kali ini ialah Kita harus meyakini kita ada Rohani. Rohani ini ada pada setiap manusia sama ada beriman ataupun sebaliknya. Malaikat pun tak tahu amalan Rohani. Malaikat pencatat hanya mencatat perbuatan kita sahaja sama ada baik atau buruk. Jadi siapa penilainya, Tuhan sahaja yang menilainya. Jangan terkejut jika ada ahli ibadat yang lebam dahi kerana sujud masuk neraka. Fasal apa ? Fasal ibadatnya tidak kerana Allah. Catatan amalnya akan dicampakkan ke mukanya. Kalau kita belajar kerohanian baru kita akan faham konsep lillahitaala. Panjang lagi ke hendak faham Rohani ? Amat panjang dan sampai kita terpaksa mati.

No comments:

Post a Comment