Ayaman hutan sering kedengaran berkokok dengan suara yang nyaring sayup-sayup tetapi pendek alunannya. Sifatnya pemalu dan tangkas. Kalau dapat disembelih dagingnya lebih sedap dan asli. Ketuanya ayam jantan. Senjata utamanya taji. Semakin panjang taji semakin berkaliberlah ketrampilannya. Beranilah ia memasuki kawasan lain untuk mendapatkan kawasan yang banyak makanan untuk koloninya. Umurnya pun panjang kerana sihat dan cergas.
Ayam kampung lebih moden. Tinggal pun di reban. waktu pagi keluar dan pulang semula waktu senja. Kokokannya mengejutkan manusia daripada tidur. Biasanya awal pagi sebelum subuh. Makannya pun ada yang cari sendiri dan diberi oleh tuannya. Harganya pun meningkat ikut musim. Ajalnya sampai bila musim perayaan ataupun untuk kenduri kendara. Biasanya ia berumur lebih 8 bulan.
Ayam daging paling selesa berbanding dengan ayam-ayam lain dan paling banyak daging. Saiznya pula paling besar dan beratnya mampu lebih daripada 2 kg. Yang ia tahu hanya makan dan minum setiap masa. Menunya sama, iaitu dedak dan tersedia pada setiap hari. Hari sentiasa siang dan tidak pernah jejak ke tanah mencari makanan. Tulangnya mudah patah. Kalau badannya berdarah pasti akan jadi arwah. Kawan yang lain akan mematuknya kerana pelik. Ayam aircond pula akan jadi arwah jika tuannya tertutup suis. Kalau ada bunyi kapal terbang atau bunyi meriam yang kuat rata-ratanya akan mati kerana lemah jantung. Paling lama hidup pun 80 hari dan paling singkat pula 45 hari untuk disembelih.
Pengajarannya, kita bolehlah kaitkan dengan generasi manusia dulu, kemudian dan hari ini. Generasi dulu memang berdikari dan hidup bebas merdeka. Generasi kemudian nampaknya ada unsur kerja sama antara dua pihak. Generasi hari ini tidak dapat diharap kerana hidup mewah. Tidak tahu apalah dengan generasi berikutnya...
No comments:
Post a Comment