Monday, October 12, 2009

SUSAHNYA MENDIDIK GENERASI MUDA

Kalau kita bandingkan budak sekolah di Malaysia dengan budak sekolah di Thailand, rasanya lebih senang menguruskan budak di Thailand. Apa tidaknya. Fesyen rambut pun sudah dapat kita kenal sama ada mereka itu budak sekolah ataupun bukan. Berani cikgu kita gunting rambut budak sekolah ? Kalau tidak calar kereta kira untung. Itu baru budak hingusan 13 tahun. Kalau yang lebih berumur bagaimana agaknya. Kalau kereta cikgu bocor atau ditoreh dengan batu siapa yang nak ganti. Pengetua atau guru besar tentu hanya geleng kepala. Cuba kaki pelajar barbalar merah atau pipinya tobek sedikit maka ke mahkamahlah jawabnya.

Di manlah nilainya seorang guru ? Mak bapak tahu anak sekarang berbeza dengan anak zaman masa mereka muda tetapi apa yang boleh mereka boleh buat. Masing-masing sibuk cari duit untuk makan minum setiap hari. Sudah penat bekerja, payah pula untuk ambil tahu hal anak maka anak pun menjadi sang Maharaja. Bukan semua tetapi kelompok mereka lebih ramai daripada yang peduli.

Kalau di bandar, PIBG lagi berpengaruh daripada pentadbir. Kan payah untuk mentadbir. Tambahan pula ibu bapa cerdik pandai dan celik undang-undang. Paling menakutkan pula mereka daripada golongan VIP ataupun VVIP. Tidak kena gayanya ketua pentadbir pula akan bersalah.

Masyarakatpun tidak kuasa menegur perangai anak hingusan ini kerana suasana yang tidak mengizinkan. Apa yang boleh dibuat tengok dan lihat. Walaupun hal ini akhirnya menyusahkan semua pihak tetapi sukar untuk menjadi proaktif.

Sistem sekolah kita pun satu hal. Budak hingusan yang tidak kenal hurufpun naik kelas. Memang seperti tidak logik jika mereka masih buta huruf sedangkan mereka sihat walafiat dan tidak cacat tetapi itulah yang berlaku. Orang atas langit pun buat dasar sekolah wajib sehingga budak hingusan berusia 17 tahun. Walaupun telah dibuang sekolah mereka berhak dari segi undang-undang untuk bersekolah. Bahkan dalam penjarapun mereka mesti diberi ruang untukmengambil peperiksaan awam. Alasan klise mak bapak dan orang atas angin ialah mereka masih berhingus patut diberi peluang dan kalau tidak ke sekolah mereka nak jadi apa. Mereka tidak tahu di sekolah macam hampir gawat kerana mereka. Para guru awak semua wajib ikut perintah !

Patutnya pelajar yang tidak boleh mengikuti kelas akademik alirkanlah ke bidang vokasional. Kajian telah membuktikan mereka memang minat kerja ketukangan kerana tidak perlu perah otak. Tidaklah semua hendak jadi bos kelak. Yang berlaku imigran pula ambil alih tempat mereka di pasaran pekerjaan. Mereka dilayan mengikut tahap IQ yang dimiliki. Budak asrama penuhlah yang patut menjadi teknokrat ataupun ekspertariat. Janganlah pelajar sederhana dipaksa mengambil subjek sains tulen dan mesti mendapat cemerlang. Yang jadi, guru yang mengajar naik juling kerana pelajar tidak mampu mengikutinya. apabila keputusan mengecewakan maka saling tuduh menuduh dan saling tekan menekan yang berlangsung. Itulah ragam manusia pendidikan di negara kita.

Kesimpulannya, orang atas anginlah yang patut berfikir secara rasional dan jauh kehadapan. Jangan jadikan pelajar bahan eksperimen kerana takut mereka akan mutan. Guru hanya mampu menjalankan tugas seperti yang diarahkan.

No comments:

Post a Comment