Pada kali ini teman mahu cerita sedikit perihal nafsu yang bidang kajiannya dibuat oleh ahli psikologi. Kalau mahu merawat orang gila, stress atau tersampuk ilmu tentang nafsu memang penting.
Mengikut ilmu sifat 20, nafsu manusia berasal daripada sifat Iradat. Sifat Iradat digerakkan oleh sifat Muridun. Sifat Muridun digerakkan oleh sifat Wahdaniah. Perangai nafsu itu dinamai hawa. Hubungan di antara Wahdaniah, Muridun dan Iradat adalah saling lazim-melazimi.
Nafsu mempunyai sejarah yang panjang. Dalam al Qur`an, ada menyatakan kisah Malaikat Harut dan Marut. Mereka nak test apa jadi kalau malaikat ada nafsu. Mampukah mereka menjadi hamba Allah yang soleh. Rupa-rupanya mereka berdua gagal dengan ujian perempuan. Sebagai balasannya kaki mereka digantung di langit dan badannya sampai ke bumi sampai hari qiamat. Begitulah cerita yang terdapat dalam tafsir Ibnu Katsir.
Sekiranya kita tidak kenal nafsu, mustahil dapat khusyuk dalam solat, tertib dalam budi pekerti. Ada yang rajin beribadat tetapi gagal mengawal lidah dan bersikap tamak dengan harta. Firaun tamak akan kuasa, Qarun tamak akan harta dan Zulaikha mahukan lelaki walaupun masih menjadi isteri orang. Dalam sejarah dunia, betapa yang tersungkur kerana perempuan, kuasa dan harta. Tanpa nafsu memang aman dunia. Dengan adanya nafsu banyak cerita tentang manusia di dunia. Begitulah sunnatullah.
Umumnya, nafsu itu terdiri daripada Amarah, Lawamah, Sawiah, Radhiah, Mardhiah, Mutmainnah, Kamalah dan Natikah. Ini mengikut pengajian teman tentang nafsu yang ada kepada manusia. Dalam Qur`an, kesemua nafsu tersebut ada disentuh.
Untuk tujuan mengubah perilaku manusia, setiap nafsu mesti dicuci dengan zikir tertentu supaya dapat dilemahkan. Tak boleh dihilangkan langsung. Lain pulak masalahnya. Contohnya nafsu Amarah. Kalau tidak ada, susah juga. Kalau orang pukul kita tanpa hak, kita tidak melawan dan redha sahaja. Ini dayus namanya. Jadi nafsu Amarah ini jangan keterlaluan nanti perangai kita macam binatang.
Dalam bidang psikologi, mereka memang mengkaji emosi manusia yang mempengaruhi perlakuan manusia. Sebenarnya kajian ini berkaitan dengan nafsu manusia. Orang Islam sebenarnya advance dalam hal ini dan tahu asal usul kejadian nafsu. Tapi malangnya, ulamak Islam tidak bersungguh mengkajinya serta disebarluaskan. Orang Islam masih menggunakan ilmu yang disusun oleh pengkaji sekular yang memisahkan ilmu psikologi dengan pencipta nafsu tersebut.
Secara umumnya pengawalan nafsu adalah dengan membaca zikir khafi pada makam-makam tertentu. Makam tu bukannya kubur tetapi ia adalah tempat untuk kita tujukan zikir yang kita baca. Kalau nafsu Amarah makamnya pada jantung. Begitu juga dengan nafsu Lawamah. Nafsu Sawiah makamnya di bawah tetek kanan. Nafsu Radhiah di atas tetek kanan. Nafsu Mardhiah di atas tetek kanan. Nafsu Mutmainnah di sudu hati. Nafsu Kamalah antara dua kening. Nafsu Natikah pada ubun-ubun. Kalau dibuat dengan tenang, satu-satu, pana rasanya. Jangann jemu membuatnya. Rasakan sendiri. Zikir cuci nafsu kena baiat dengan tuan guru. Siapa ? Ustaz Ariffin bin Ngah Nasution @ lihat Abnnasution.blogspot.com.
Rumusannya, untuk masuk syurga kita kena ada nafsu mutmainnah, iaitu jiwa yang tenang. Memang payah. Pertama kita kena belajar. Pulak tu dengan yang benar-benar mahir dengan ilmu tersebut. Bukan boleh belajar melalui buku. Cari sampai dapat. Mudah-mudahan saudara pembaca dapat gambaran serba sedikit tentang nafsu supaya kita berhati-hati dengan nafsu yang ibaratnya seperti binatang raksasa dalam tubuh kita.
Monday, May 23, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment