Monday, May 30, 2011

Nyawa


Kali ini teman cuba terangkan serba sedikit tentang nyawa. Nyawa merupakan makhluk yang tidak berupa apa pun. Ia boleh dibuktikan ada apabila kita dapat lihat jasad hidup. Tandanya ada pernafasan. Ilmu nafas ni kalau digunakan untuk tujuan dunia dapat jadi kebal dan tahan menyelam. Di kampung Rungkup, ada guru silat Harimau Berantai dan umurnya dah 80 lebih steady lagi. Beliau mengakui kehebatan ilmu nafas yang diamalkannya. Ini sampingan sahaja.

Nyawa berasal daripada sifat Hayat. Sifat Hayat ini digerakkan oleh Sifat Hayyun (Sifat Kamal). Sifat Hayyun ini dikuasai oleh sifat Wahdaniat. Mengapa sifat Wahdaniat ini menguasai kesemua sifat Kamal. Ini adalah kerana sifat Kamal walaupun bertaraf zat tetapi tidak mutlak. Sifat Wahdaniat itu memang mutlak zat. Orang yang ada sedikit belajar nama sifat-sifat ini senang faham tetapi yang tiada asas payah lah sedikit. Tak apa, pelan-pelan.

Nyawa kepada manusia boleh dipecah kepada Nafas, Nufus, Ampas dan Tanafas. Kesemuanya bermaksud diri dan dalam al Qur`an pun menggunakan istilah yang sama untuk merujuk kepada diri. Nafas inilah yang dikatakan sebenar-benar diri yang tidak mati dan tidak berupa apa jua. Namanya yang berbeza-beza kerana perbezaan keluar masuk ke dalam atau ke luar jasad. Nafas itu ialah udara yang keluar masuk melalui rongga mulut. Nufus tu udara yang keluar masuk melalui rongga hidung. Ampas tu melalui mata. Tanafas tu melalui telinga. Puasa pada bulan Ramadhan berfungsi untuk mencuci tiga nyawa iaitu Nafas, Nufus dan Tanafas. Semuanya 10 hari setiap Nyawa. Apa jadi dengan Ampas. Ini teman belum tanya kepada ustaz. Bulan Ramadhan wajib 30 hari.

Nyawa manusia itu tidak berdosa. Nyawa manusia itu daripada Nur. Ia daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Nyawa inilah rahsia Allah kepada manusia. Makamnya di antara pusat dan ubun-ubun. Apabila janin berusia 120 hari, Tuhan akan meniupkan nyawa kepada janin tersebut. Janin tidak lagi bergantung nyawa kepada ibunya dan mula bergerak-gerak.

Zikir Nyawa ni Hu Allah. Bila tarik Nafas, ingat HU. Bila lepas nafas ingat Allah. HU itu zat Tuhan. Allah tu Asmak Tuhan. Perjalanan Nyawa tu di antara ubun-ubun dan pusat. Maarifatkan sahaja. Besar faedahnya. Tema hanya niatkan sebagai zikir sahaja. Asal zikir ini ialah ayat pertama surah al Ikhlas.

Katakanlah Hu Allah.
(Al Ikhlas:1)

Kalau Raihan Allah HU. Ini nasyid tetapi teman zikir yang ada asal usulnya. Zikir inilah mengikut ilmu kerohanian Islam sebagai Solatul Daim. Solat yang kita biasa buat tu solatul Qoim yang kena ada air sembahyang dan masa yang tertentu. Solatul Daim ini tidak kira waktu dan tempat dan tidak perlu air sembahyang. Ada satu cerita yang berlaku pada zaman curfew dulu tahun 1969 di Kuala Lumpur. Ada satu mamat pengemis yang duduk ditepi jalan dalam keadaan compang camping dan tidak bercakap. Tiada satu makhluk manusia yang kacau tempatnya walaupun berlaku rusuhan kaum. Rupanya dia wali Allah. Zikirnya Solatul Daim. Cerita ini teman kutip daripada buku Kerohanian Islam tulisan Ustaz Ariffin b Ngah.

Teman rasa, perihal nyawa kita sebenarnya terlalu istimewa kalau dikaji. Cuma teman ni belum samapai tahap jazam. Harap pebaca budiman boleh kembangkan lagi ilmu ini supaya memberi manfaat kepada manusia.

No comments:

Post a Comment