
Dalam artikel yang lalu, teman ada sebutkan tentang Sifat Qohar, Sifat Kamal dan Sifat Jamal. Kesemua sifat tersebut saling lazim-melazimi. Bahagian ni kena mengadap guru yang ahlinya. Teman hanya lontarkan konsepnya sahaja. Yang pentingnya para pembaca dapat memahami bahawa ada satu sistem dan konsep untuk memahami rohani itu sendiri.
Dalam pengajian sifat 20, Rohani ini sebenarnya dinamai sebagai diri terperi. Kalau jasad dikenali sebagai diri terdiri. Rupa rohani ini macam rupa jasadnya. Apa yang dibuat oleh jasmani mengikut perangai rohani itu sendiri. Rohani terdiri daripada roh, nafsu, akal dan nyawa. Daripada qudrat menjadi roh. Daripada iradat menjadi nafsu. Daripada ilmu menjadi akal dan daripada hayat menjadi nyawa.
Rohani kita boleh dibahagi lagi menjadi dua, iaitu diri terperi dan sebenar-benar diri. Diri terperi terdiri daripada roh, akal dan nafsu. Sebenar-benar diri itu nyawa. Yang banyak mempengaruhi tindakan jasad berpunca daripada akal dan nafsu. Roh merupakan sumber kekuatan bagi jasad. Orang pengsan atau tidur masih lagi hidup tetapi tiada kekuatan sehingga rohnya kembali ke dalam jasad. Akal ini tempat Tuhan menurunkan petunjuk kepada jasad. Nafsu merupakan keinginan manusia sama ada ke arah kebaikan ataupun kejahatan. Nyawa merupakan sumber kehidupan manusia. Keluar sahaja nyawa daripada badan, maka jasad menjadi mayat.
Rohani inilah dulu yang berjanji kepada Tuhan untuk beribadat. Jadi Tuhan turunkannya ke dunia secara berjasad untuk beribadat. Dengan itu Tuhan telah turunkan syariat sebagai panduan beribadat. Itu hal yang berkaitan yang boleh kita nampak dengan mata kepala. Yang dalam inilah yang susah dan tak nampak. Jadi kena belajar ilmu dalam diri ini baru boleh beribadat dengan betul.
Teman lama dah berfikir mengapa rohani teman boleh lupa dengan janji yang pernah diikrarkan di alam roh dulu. Ada buku yang teman baca, keindahan dunia ini menyebabkan manusia lupa akan janji terdahulu. Pada masa Nabi Muhammad saw isra` dan mikraj, dunia dikiaskan sebagai perempuan yang muda apabila dilihat dari jauh. Memangla terliur dibuatnya. Lepas itu nafsu pula di peringkat nafsu amarah, lagilah lupa kita dibuatnya. Mudah-mudahan teman menjadi orang yang diselamatkan Tuhan di dunia sampai akhirat. Begitu juga dengan tuan-tuan pembaca budiman.
Setiap elemen, iaitu roh, nafsu, akal dan nyawa ada ibadatnya tersendiri. Kalau tidak kita belajar tentang rohani, ibadat kita hanya terlihat pada zahirnya tetapi batinnya kosong. Tuhan tidak melihat perbuatan kamu tetapi melihat hati kamu. Payah nak beribadat. Bukannya senang seperti feqah. Di sinilah kita membina iman, iaitu kepercayaan atau Tauhid. Membina Islam itu mudah. Mengucap dua kalimah syahadah sahaja dah dianggap Islam tetapi belum lagi beriman.
Rumusannya, teman mengharapkan pembaca budiman tahu asal usul rohani manusia dan tanggungjawapnya ketika di dunia. Pembaca budiman patut tahu amat sukar mempertahankan iman yang betul. Lihatlah betapa kejamnya para umarak dan ulamak feqah menindas golongan ini di sepanjang sejarah Islam. Mereka disiksa, dipenjara dan dibunuh dengan alasan menyesatkan orang ramai dan tidak sehaluan degan nafsu mereka. Lihatlah Imam Ghazali, Ibn Arabi, al Halaj, Hamzah Fansuri, Maarof al Karkhi ataupun Pak Hamka.
No comments:
Post a Comment